Isu Semasa

Sambutan Hijab Sedunia : Feministkah kita?

hijab-day

1 Februari menjelang kembali, menjadi hari yang begitu signifikan buat seluruh wanita berhijab di dunia ini untuk bersama-sama menyebarkan falsafah Nazma Khan tentang hijab di mata masyarakat awam tidak kira beragama apa mahupun berbangsa mana di mana beliau mendatangkan idea ini sebagai satu cara untuk memupuk toleransi dan pemahaman agama dengan menjemput wanita tidak hijabis Islam atau bukan Islam untuk mengalami hijab untuk satu hari. Konsep berhijab yang dulu sering dipandang serong oleh masyarakat kini, sudah sedikit demi sedikit dapat ditangkis dengan memberi pendedahan mengenainya melalui kempen sebegini. Malahan ianya juga sebagai salah satu modus operandi wanita muslim untuk membuka mata pihak berkuasa tentang kebenaran bebas berhijab di negara mereka sendiri.

Namun ada sesetengah pihak yang berpandangan bahawa wanita-wanita yang bangkit menuntut hak berhijab ini sebenarnya membawa imej feminisme. Di German misalannya, seorang aktivis wanita Jerman yang juga merupakan Presiden Muslim Women Society , Prof. Madya Dr. Tuba Isik merupakan antara wanita yang berani dan lantang dengan pihak berkuasa demi menuntut pemakaian berhijab bagi wanita muslim di sana. Namun akibat tindakan beliau ini, beliau telah dilabel sebagai “feminist” oleh beberapa pihak di sana.

Menurut Gerda Lerner di dalam bukunya The Creation of Partriarchy, beliau mendefiniskan feminisme sebagai sebuah doktrin yang menyokong hak-hak sosial dan politik yang setara bagi perempuan, beliau juga menambah bahawa feminisme juga bermaksud sebuah gerakan yang peduli dengan kesamarataan antara perempuan dengan lelaki dalam semua aspek masyarakat. Antara contoh yang kita boleh ambil, mereka ini menuntut agar apa yang telah terkandung dalam hukum syariat seperti contohnya dalam pembahagian harta pusaka, itu perlu sama rata antara lelaki dan perempuan. Ini jauh sekali berbeza dengan perjuangan feminisme wanita yang berlandaskan syariat di mana mereka ini menuntut keadilan bagi wanita terhadap sesuatu hak yang sepatutnya diperolehi oleh mereka seperti dalam isu pemakaian berhijab. Hal ini kerana pemakaian berhijab ini sememangnya hak seorang wanita muslim yang bukan sahaja dituntut atas dasar untuk memenuhi tuntutan agama, malahan juga sebagai melindungi diri sendiri daripada segala perkara buruk yang tidak diingini ibarat topi keledar yang berfungsi menjaga dan memelihara si pemakainya.

Di dalam Islam, kita sama sekali tidak menghalang wanita menuntut hak terhadap sesuatu perkara yang sepatutnya dituntut oleh mereka. Islam tidak pernah menyekat wanita untuk bersuara melahirkan suara hati mereka sendiri. Perkara ini ada tertera di dalam Kitabullah, Surah Al-Mujadilah di mana seorang wanita yang telah dizihar oleh suaminya tampil berjumpa sendiri dengan Nabi Muhammad S.A.W untuk mendapakan penjelasan tentang keadaanya. Islam hanya menghalang jika seorang wanita itu menuntut kesamarataan dengan kaum lelaki. Maka sudah terang lagi bersuluh tindakan sesetengah wanita feminisme yang bersyariat seperti Prof Dr Tuba Isik mahupun Nazma Khan sendiri dalam bersuara menuntut perjuangan hak berhijab ini bukanlah sesuatu yang salah kerana ianya tuntutan hak wanita bukan hak kesamarataan antara wanita dan lelaki. Justeru, adakah layak perjuangan keadilan terhadap wanita digelar untuk menyebarkan agenda feminisme?

Maka, Sambutan Hijab Sedunia ini bukanlah salah satu propaganda untuk menyebarkan agenda Feminisme. Tetapi ia adalah satu sambutan untuk meraikan wanita muslim khususnya dalam pemakaian hijab atau dikenali sebagai tudung mahupun kerudung di kalangan masyarakat awam. Justeru, andai anda yang sedang membaca ialah seorang wanita muslim, maka ayuh bersama-sama kita berganding bahu menunjuk tanda sokongan terhadap hari hijab sedunia ini, dan seandainya juga anda yang sedang membaca merupakan mana-mana wanita non-muslim, maka ayuh bersama-sama dengan kami mendalami dan memahami lagi isu-isu kewanitaan agar kita menjadi wanita unggul di alam siber kini yang bijak bersuara bukan terbabas bicaranya dan akhirnya mampu untuk menjadi pencetus kebaikan buat seluruh kaum wanita di dunia ini juga yang terakhir, jika anda yang membaca ialah seorang lelaki, ayuh bersama kami juga untuk saling bantu-membantu dalam kebaikan demi kesejahteraan dunia dan seisinya.

Rujukan :
World Hijab Day
Lerner, Gerda, The Creation of Patriarchy, Oxford University Press, New York, 1986.

Most Popular

To Top