Agama

Di Manakah Kita Harini ?

JG-1-a-v2

Sirah membuktikan bahawa umat islam dahulunya sangat hebat dan gemilang hidupnya. Mereka sangat komited dengan tanggungjawab mereka sebagai seorang muslim. Mereka merasakan bahawa makna islam itu adalah sebuah kata kerja yang perlu untuk diterjemahkan dalam bentuk pengamalan yang sebenar. Hebatnya sewaktu era empayar Abbasiyyah yang melahirkan cendekiawan cendekiawan Islam yang sangat memberi impak kepada seantero dunia. Hebatnya Sultan Muhammad al Fateh dan angkatan tenteranya yang berjaya menakluki Konstentinopel dengan penuh perangkaan strategi yang amat unik dan teliti serta persiapan ruhaniyah mereka yang penuh dengan benih benih keimanan yang meresap jiwa. Mereka juga bergelar manusia seperti kita.

KONTEKS MALAYSIA

Sejak mutakhir ini , Kita seringkali disajikan dengan berita dan laporan yang kurang enak didengar dan dibaca di akhbar harian , laman laman sosial dan televisyen. Antaranya :

  1. Remaja perempuan 14 Tahun , Hamil di Melaka ( Sumber Harian Metro )
  2. Pasangan remaja dicekup tinggal sebumbung di Terengganu ( Sumber Sinar Harian )
  3. Video yang tular di laman Facebook perihal seorang peniaga memaki dan menyumpah seranah kepada peniaga lain

Malah selain contoh di atas , penulis yakin bahawa pembaca juga lebih mengambil tahu dalam mengikuti krisis akhlak ,krisis sosial dan krisis keluarga di Malaysia. Krisis penceraian yang kian meningkat, krisis pembuangan bayi dan pornografi juga kian bertambah bilangannya. Melihatkan kepada permasalahan ini kita sebagai rakyat Malaysia serta pihak berwajib seharunya bersama sama menangani krisis ini dengan penuh berhemah dan efisyen. Perbaiki segala perkara yang dilihat ada kelompongan untuk menghidupkan kembali sisa sisa harapan yang kian pudar buat mereka. Seperkara lagi , kita perlu menilai dan menganalisis apakah punca semua ini berlaku? Atas sebab apa? Bagaimana ia boleh berlaku? Saya sendiri melihat permasalahan ini boleh berlaku atas beberapa sebab yang dapat difikirkan. Majoriti dikalangan mereka ini adalah manusia yang beragama Islam.

Kelemahan Pembangunan Sahsiah Diri

Aspek ini sering kali diambil acuh tidak acuh oleh sebilangan masyarakat muslim kita . Ianya merupakan kunci kepada segalanya. Pembentukan dan pembinaan sahsiah diri yang teliti dan berkesan akan melahirkan modal insan yang berguna. Sewajarnya pembangunan sahsiah diri ini bermula di rumah dan sekolah. Mengapa saya katakan rumah dan sekolah ? kerana ia merupakan medan yang paling banyak masa digunakan oleh anak anak muda kita harini. Ketahuilah bahawa pembentukan sahsiah diri yang ideal perlu dimulakan pada usia yang awal. Meluntur buluh biarlah dari rebungnya. Antara metodologi yang boleh diusahakan dan disusun di rumah adalah mendekatkan mereka ini dengan Al quran. Kerana jatuhnya masyarakat harini adalah kerana mereka jauh dengan Al quran apatahlagi mahu berinteraksi dengannya. Didik keluarga dengan sentuhan ayat ayat Al quran untuk membina jiwa dan sahsiah anak anak. Selalu memperdengarkan dan taddabur ayat Al quran untuk dijadikan pedoman bersama.

Kedua , ahli keluarga seharusnya selalu berinteraksi dan berkomunikasi sesama mereka. Hal ini sebaiknya perlu diberi perhatian. Anak anak muda pada hari ini sepatutnya mendapat perhatian yang lebih daripada ibu bapa untuk mendidik dan bersama mereka. Kerana jiwa seorang ayah dan ibu tahu akan yang terbaik buat anaknya. Memberi perhatian yang serius terhadap anak seharusnya menjadikan keluarga tersebut harmoni dan bahagia. Akhirnya , anak mereka tenang hidup bersama kerana budaya nasihat menasihati dan tegur menegur segar dalam keluarga mereka.

Ketiga , peranan guru guru disekolah dalam membentuk peribadi dan sahsiah. Ketahuilah bahawa elemen ini sangat mustahak untuk dibina dan dibentuk disekolah. Pendidik merupakan aset penting dalam masyarakat untuk mencorak masa hadapan bangsa dengan lebih maju dan berjaya. Kita perlu merasakan bahawa setiap jiwa pendidik seharusnya melahirkan sifat kasih dan saying kepada anak didiknya untuk membentuk mereka ke neraca individu yang mampu untuk bermanfaat kepada diri dan orang orang di sekitarnya serta tahu akan potensi dirinya. Jika ia terus diberi perhatian , maka gejala sosial yang kelihatan agak memalukan harini pasti akan berkurang jumlahnya.

Kadar Intelektual yang lemah

Tanda aras bagi kehebatan sebuah tamadun adalah melihatkan kepada kadar inteleknya dan aspek pengamalannya. Misalnya , Zaman Abbassiyah penuh dengan insan insan yang sangat sukakan ilmu , suka mengkaji dan menyelidik serta mencuba sesuatu yang baharu. Akhirnya , banyak tokoh ilmuan yang lahir pada itu contohnya , Ibn Sina dan Ibn Bahtuta. Masyarakatnya juga sangat menjaga hal hal berkaitan perihal keagamaan baik dari segi suruhan atau larangan hingga melahirkan suatu masyarakat yang tinggi ilmunya.

Masyarakat yang berbudaya ilmu perlu menegekalkan momentum membudayakan ilmu dalam kehidupan agar ia berterusan hingga generasi akan datang. Budaya ilmu di sini adalah kesemua tingkat masyarakat tidak kira lapisan sebaiknya mengamalkan sesuatu tindakan berasaskan ilmu pengetahuan. Walaupun wujud pembudayaan ilmu dalam masyarakat ,sekiranya tidak istiqamah maka ia akan kembali kepada zaman jahilliyah yang merosakkan seperti mana zaman zaman tamadun terdahulu. Maka nilai ini seharusnya diwujudkan secara konsisten. Kerana ilmu adalah kunci untuk membina masyarakat yang bertamadun dan tinggi kadar inteleknya. Tuntasnya , nilai intelek ini sewajarnya perlu dipupuk sejak usia yang muda untuk membina generasi yang ampuh pada masa akan datang.

Konklusi

Setiap masalah ada jalan penyelesaiannya yang terbaik. Melihatkan kepada isu ini dalam demografi di Malaysia ia sangat memerlukan peranan semua pihak . Namun bagi saya , ia adalah lebih mustahak untuk kita sendiri yang melakukan perubahan iaitu Islah al–nafs . Islah perlu bermula pada diri sendiri. Islah al-nafs adalah asas kepada reformasi akhlak , intelek dan lain lain. Islah al–nafs ini akan sempurna sekiranya setiap individu itu Berjaya menggabungkan semua aspek yang berkaitan idealisme , intelektualisme , aktivisme dan spiritualsme. Empat aspek ini sangatlah penting dalam mewujudkan keseimbangan rohani ,emosi , jasmani dan intelektualnya. Aspek ini seharusnya bergerak serentak dan seiring dan tidak boleh dilaksanakan secara berasingan. Yakinlah bahawa kita sendiri yang mempunyai pilihan sama ada untuk memilih jalan yang baik atau jalan yang buruk. Maka nilailah dengan hati yang terbuka , semua perubahan bergantung pada diri kita sendiri yang menatijahkan kesannya kepada masayarakat. Bantulah masyarakat kita yang sedang parah ini !

Most Popular

To Top