Mahasiswa

Penawar Untuk Ummah Melalui Gagasan Islamisasi Ilmu di Malaysia

Malaysia seperti yang kita maklum merupakan sebuah negara yang terdiri daripada tiga belas negeri dan tiga wilayah persekutuan di Asia Tenggara dengan keluasan 329.847 km persegi. Ibu kotanya adalah Kuala Lumpur, sedangkan Putrajaya menjadi pusat pemerintahan persekutuan. Jumlah penduduk negara ini kini melebihi 27 juta jiwa. Meskipun Malaysia gah melakarkan nama di persada dunia, rakyat Malaysia dikejutkan dengan laporan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang melaporkan sebanyak 532,158 kelahiran anak tidak sah taraf atau anak luar nikah didaftarkan dari tahun 2005 hingga 2015. Dalam tempoh yang sama, data Polis Diraja Malaysia pula menunjukkan terdapat 526 kes pembuangan bayi. Menyedihkan lagi, apabila laporan bilangan kes kehamilan remaja yang belum berkahwin bagi tahun 2012 hingga 2015 adalah sebanyak 16,270. Angka statistik ini sangat menggerunkan, membimbangkan dan menyedihkan. Walaupun begitu, ini hanya statistik yang dikemukan penulis daripada beberapa statistik lain merujuk kepada isu keruntuhan akhlak. Sebenarnya masih banyak lagi isu lain seperti isu jenayah juvana, institusi kekeluargaan, tatakelola pentadbiran, jenayah cyber dan lain-lain lagi yang entah tidak diketahui oleh kita.
Harus difahami juga, semua isu ini bukan isu baru tetapi telah lama bertapak di Malaysia. Ramai sarjana-sarjana Islam memikirkan solusi terhadap masalah yang melanda ummah ini. Antara tokoh yang menyumbang idea bagi menyelesaikan kemelut ummah ini ialah Syed Muhammad Naquib al-Attas. Pendirian al-Attas mengenai permasalahan ummah melalui gagasan Islamisasi ilmu cukup jelas sejak tahun 70-an lagi, dalam surat jawapan beliau kepada Sekretariat Islam di Jeddah beliau menyatakan bahawa permasalahan yang berasal daripada kemunduran pembangunan manusia, ekonomi, sains, dan teknologi hanyalah sesuatu yang bersifat luaran, cerminan daripada masalah ilmu pengetahuan yang mendasar. Bagi memudahkan para pembaca faham, apa yang ingin penulis sampaikan ialah akar permasalahan ummah menurut al-Attas adalah kekeliruan mereka dalam memahami sejumlah kata kunci seperti pandangan alam, agama, Allah s.w.t., ilmu pengetahuan, pendidikan, kebahagiaan, keadilan, kebijaksanaan, pembangunan dsb. Oleh kerananya, menurut beliau, perpecahan dapat diselesaikan apabila terdapat kesatuan pemahaman di antara sarjana Muslim tentang idea dan konsep fundamental yang berkaitan dengan agama Islam dan peradaban ummah. Sememangnya al-Attas dikenali sebagai pemikir yang lantang memperjuangkan perlunya penggunaan istilah yang tepat. Ini kerana penggunaan istilah yang salah sangat berpengaruh kepada minda masyarakat.

ISLAMISASI ILMU MENURUT AL-ATTAS

Penulis memilih al-Attas sebagai tokoh sarjana dalam hal ini kerana konsep Islamisasi ilmu telah menjadi fokus minda dan jiwa beliau sejak sekian lama sebelum diwacanakan sebagai gagasan besar. Keseriusan al-Attas dapat dirasai melalui penulisan-penulisan beliau. Pendirian al-Attas, Islamisasi adalah sebuah “revolusi epistemologi” dan harapan untuk merealisasikan kebangkitan Islam. Konsep ini pernah dibincangkan oleh sarjana-sarjana ulung lain seperti Imam al-Ghazali, Isma’il Raji al-Faruqi, Seyyed Hossein Nasr , Fazlur Rahman dan banyak lagi. Islamisasi yang digagaskan al-Attas bukan sekadar merubah disiplin ilmu, tetapi sebagai sebuah proses Islamisasi fikiran, jiwa dan raga serta kesan-kesannya terhadap kehidupan manusia. Dan ini direalisasikan dengan beberapa cara di antaranya Islamisasi istilah dan konsep kunci yang menjadi agenda penting dalam pemikiran beliau.

Jika kita merujuk buku “Risalah untuk Kaum Muslimin” yang ditulis oleh beliau pada tahun 1973, al-Attas telah menerangkan perbezaan yang luas dan mendalam antara Islam dengan Barat menerusi perspektif keagamaan, epistemologis, pendidikan dan budaya. Melalui analisis mendalam tentang ‘worldview’ Barat ini, beliau berkesimpulan bahawa ilmu itu benar-benar tidak bebas nilai (neutral). Ini kerana ilmu yang dikuasai oleh Barat pada hari ini telah diresapi nilai keagamaan dan kebudayaan pandangan hidup seseorang, dan budaya berkuasa yang mempengaruhinya. Dalam proses Islamisasi ilmu, menurut al-Attas melibatkan dua langkah yang utama. Pertama ialah proses mengasingkan unsur-unsur dan konsep-konsep utama Barat dari ilmu tersebut. Langkah kedua ialah menyerapkan unsur-unsur dan konsep-konsep utama Islam ke dalamnya. Dalam hal ini Al-Attas mengambil pendekatan Imam Ghazali dalam aspek jiwa, di mana ia menyarankan supaya sifat yang keji dibuang dahulu sebelum jiwa dihiasi dengan sifat yang terpuji.

Lanjutan daripada itu, penulis juga ada menulis tajuk integrasi Islamisasi ilmu pengetahuan dengan Surah al-Álaq ayat 1-5 di dalam Disertasi Sarjana Muda penulis. Usaha penulis ini adalah untuk menjelaskan bahawa konsep Islamisasi ilmu sangat berkait rapat dengan hidup seorang Muslim. Bermula dengan saranan ‘membaca’pada ayat pertama sebagai proses untuk mendapatkan ilmu dan memahami Allah swt sebagai sumber segala ilmu pengetahuan.

MAQASID GAGASAN ISLAMISASI ILMU DI MALAYSIA

Setiap pekerjaan yang dilakukan pasti ada objektif (maqasid) tertentu yang ingin dicapai sebagai kayu ukur berjayanya sesuatu pekerjaan. Maqasid yang dikemukan ini tidak bersifat tetap tetapi mungkin berubah melihat pada masa dan keadaan. Di sini penulis kemukakan 4 maqasid jangka masa pendek yang ingin dicapai oleh peribadi penulis melalui aplikasi konsep gagasan Islamisasi ilmu di Malaysia :

  1. Usaha ini mendapat perhatian dan tindakan selanjutnya daripada pihak kerajaan khususnya Menteri Dan Timbalan Menteri Kementerian Pelajaran Dan Pengajian Tinggi Malaysia sekaligus memperhalusi silibus-silibus pengajian di Malaysia agar selari dengan gagasan Islamisasi ilmu baik di peringkat rendah, menengah, mahupun universiti .
  2. Konsep ini perlu didedahkan di semua peringkat umur.
  3. Pihak universiti tempatan mewujudkan silibus Islamisasi Ilmu sebagai subjek wajib ambil bagi mahasiswa.
  4. Produk terakhir kepada gagasan ini ialah memahami Islam, melawan kejahilan, penurunan masalah sosial, perpaduan yang kukuh antara kaum, kesatuan pemahaman, dan penggunaan istilah yang tepat dalam kehidupan ummah. Produk-produk ini boleh dinilai dengan analisis dan statistik berkala.

Walaubagaimanapun, untuk jangka masa panjang, terdapat 12 maqasid yang menjadi impian penulis untuk dicapai bersama rakyat Malaysia :

  1. Kepimpinan negara yang kompeten dan berintegriti.
  2. Sistem pemerintahan yang berasaskan semak dan Imbang yang berkesan.
  3. Tadbir urus yang baik.
  4. Undang-undang yang adil.
  5. Masyarakat yang berilmu berakhlak dan penyayang
  6. Institusi keluarga yang utuh
  7. Hubungan etnik dan penganut agama yang Harmoni
  8. Ekonomi yang mampan
  9. Agihan kekayaan yang saksama
  10. Pembangunan yang lestari
  11. Kebajikan, kesihatan dan keselamatan rakyat yang terpelihara
  12. Menerajui usaha keamanan dan kesejahteraan sejagat.

KESIMPULAN

Sebagai kesimpulan, penulis berpendapat, untuk melakukan perubahan terhadap pembangunan manusia, ekonomi, sains, dan teknologi harus melalui pendidikan khususnya melalui konsep Islamisasi ilmu. Menjadi impian penulis agar gagasan ini dapat menyelesaikan kemelut ummah khususnya di Malaysia yang semakin menyesakkan dada akibat lambakan timbunan masalah yang tidak berkesudahan. Bagi penulis, nilai kemajuan sebuah negara bukannya diukur melalui tingginya bangunan-bangunan tetapi dinilai melalui peradaban manusia yang menatijahkan nilai-nilai kemanusiaan seperti akhlak mulia, perpaduan, ketelusan, keadilan, tatakelola yang baik, integriti dan sebagainya. Usaha ini tidak esklusif malah boleh terpakai kepada semua kerana hasilnya ialah maslahah bersama. Usaha ini juga tidak bertentangan dengan Islam malah anjuran untuk Islamisasi ilmu ataupun kerangka besarnya mengamalkan Islam secara keseluruhan turut dinyatakan Allah swt di dalam Surah al-Baqarah ayat 208. Maqasid yang dikemukan penulis juga bukanlah milik mutlak penulis tetapi sekadar satu cetusan idea dan mungkin berubah pada masa akan datang. Sebagai Muslim dan rakyat Malaysia, menjadi tanggungjawab bersama untuk menyumbang ke arah meningkatkan keharmonian dan kesejahteraan Malaysia selari dengan anjuran al-Quran dan as-Sunnah. Penulis memohon maaf sekiranya terdapat salah dan silap. Semoga penulisan ini mampu direalisasikan seterusnya memberi manfaat yang besar buat ummah khususnya di Malaysia.

Most Popular

To Top