Isu Semasa

Piala FA 2017: Disebalik Suhu Canak di Medan Larkin

jdt-bola-larkin

Perlawanan dramatik pusingan kedua suku akhir Piala FA 2017 sudah berlalu dengan berkesudahan Pahang (PFA) mengisi slot keempat ke separuh akhir bersama Negeri Sembilan, Terengganu, dan Kedah, selepas membenam juara bertahan Darul Takzim FC (JDT), dengan agreget (4-3). JDT bermain baik, hanya nasib tidak menyebelahi.

Sementara itu, jutaan tahniah kepada pasukan Sabah, PKNP dan Sarawak kerana menunjukkan aksi jagoan sehingga membuat kejutan melangkah ke suku akhir sebelum tewas kepada lawan masing-masing. Kenapa Jagoan? Kerana mereka menafikan ramalan para pengamat bola sepak negara, pasukan bukan pilihan tapi ke suku akhir.

Tahniah juga kepada semua pasukan yang bertanding kerana telah cuba sedaya mungkin untuk penyokong mereka khususnya peminat bola sepak tanah air.

Berbalik kepada perlawanan Harimau Selatan dan Tok Gajah di Larkin. Saya bukan pakar taktikal bola sepak untuk menilai tempo dan strategi permainan.

Lalu, fokus saya pada kontroversi perlawanan yang bukan hanya atas padang, tapi ia terheret kepada isu pasca. Isu seorang pemain biadab tidak mahu bersalam, isu Sumareh dan Afiq Fazail digantung. Kontroversi ini telah menarik perhatian netizen.

Namun, disebalik suhu canak itu ada bayang matahari bersinar yang tidak dipandang. Terdapat ibrah yang lebih besar saya ingin cupil untuk umat seluruh rakyat Malaysia.

Seawal pagi keesokannya, telah tular gambar ‘screen shoot’ perbualan seorang pemain bola sepak JDT, Muhammad Fazly Mazlan melalui aplikasi personal instagram (DM) dengan seorang pemain Pahang, Syamim Yahya.

Tingkah ini diambil demi menyampaikan permohonan maaf Fazly terhadap pemain import pasukan Pahang, Mohamadou Sumareh dengan Syamim sebagai perantara. Ia bertepatan dengan al-Quran, yang Allah amat menitik-beratkan soal permaafan.

“Jika kamu melahirkan sesuatu kebaikan atau menyembunyikan atau memaafkan sesuatu kesalahan (orang lain), maka sesungguhnya Allah Maha Pemaaf lagi Maha Kuasa (An-Nisa: 4[149]).”

Dalam tulisan itu, Fazly Mazlan mengaku salah ke atas tindakan provokasi yang terlampau beremosi dari beliau ketika perlawanan.

“Jadilah engkau pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang ma’ruf, serta berpalinglah dari pada orang-orang yang bodoh ( Al-A’raf: 7[199]).”

Walaupun dalam al-Quran tidak ditemukan ayat yang secara terangan menyuruh seseorang memohon maaf dengan insan lain.

Kendatipun begitu, tersangat banyak dalam al-Quran serta berkali-kali Allah menyeru kita yang telah melakukan dosa agar segera bertaubat kepada Allah. Ia cukup signifikan untuk dikaitkan bahawa kita mesti mengaku salah dan memohon maaf, kerana kesalahan sesama insan juga satu dosa.

“Dan Dia menghilangkan kemarahan panas hati orang-orang mukmin. Dan Allah menerima tobat orang yang dikehendaki-Nya. Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana (Surah At-Taubah: 9[15]).”

Allah menunjukkan kudrat dan kekuasaannya, hanya tidak sampai beberapa jam selepas perlawanan, Dia telah mengetuk pintu hati Fazly dan menghilangkan kemarahan atas padang untuk menghulurkan maaf atas khilafnya. Kita berharap Sumareh juga menyeru kalimat Allah dengan bersedia memaafkan Fazly dengan penuh gembira.

Kesimpulannya, walaupun kisah teladan ini tidak setular isu kontroversi pemain. Namun masyarakat Malaysia perlu meneruskan akhlak yang baik sebegini baik rakyat mahupun pemimpin. Mengaku bila salah, memohon maaf dan tidak mengulangi. Bola sepak hanya sebuah permainan. Kita boleh menyokong mana-mana pasukan terutama pasukan negeri dan negara kita sebagai tanda kita sayang asal-usul kita. Namun jangan kita jadikan hiburan ini sebagai indikator perpecahan dan permusuhan, baik pemain, penyokong atau pemimpin.

Diingatkan, entri ini berkisar tentang tindakan memohon maaf Fazly, bukan berkenaan watak sebelum atau khilafnya diatas padang. Sebagai rakyat Malaysia yang berakhlak dan berdaya maju, ayuh seluruh agama dan kaum, dari Perlis hingga ke Sabah, mari kita bersatu demi negara Malaysia kita sayangi.

Jangan biarkan Malaysia nanti hanya tinggal nama kerana perpecahan kita dek perkara remeh sebegini. Kita adalah bangsa yang merdeka.

Marilah kita hidup bagai satu keluarga, buang kebencian. Beradab dengan semua orang semua orang kelak namamu dijulang tinggi. Malaysia kebanggaan kita. 90 minit kita berlawan, tapi 360 hari kita berkasih sayang.

Wahai Muhammad Fazly Mazlan, sebagai figura awam anda telah melaksanakan satu dakwah dan teladan untuk diikuti oleh ummah berbilang kaum dan agama di negara ini. You are Real Malaysian, Tahniah!

Kepada Sumareh, tindakan ‘maaf’ Fazly adalah menggambarkan itulah masyarakat kami yang sebenar, bukan waktu ketelanjuran anda diprovokasi. Negara ini yang kaya budi bahasa. Inilah Malaysia, tanah air kami cintai!

Mohd Sufian Bin Zahari
Graduan Masters of Political and Science Universiti Kebangsaan Malaysia
Aktivis

Kredit gambar: Johor Southern Tigers Website

Most Popular

To Top