Pendidikan

Kejadian terjun dari tingkat tiga bangunan sekolah di Klang

Kejadian terjun dari tingkat tiga bangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Andalas, Klang oleh murid tahun 6 pada 22 Mei 2017 baru-baru ini menarik perhatian ramai ibu bapa. Laporan akhbar menyatakan pelajar tersebut sebelum ini enggan ke sekolah kerana tiada persefahaman dengan rakan-rakan sekelas.

Tindakan berbahaya oleh pelajar tersebut menjadi tanda tanya kepada semua ibu bapa di luar sana. Mengapa pelajar semuda ini sanggup nekad mengambil keputusan untuk mencederakan diri sendiri? Adakah pelajar ini mengalami tekanan emosi dan mental yang serius? Jika benar, apakah punca tekanan emosi dan mental tersebut?

Insiden mengejutkan ini pernah berlaku di Singapura pada 21 Oktober 2016 di Singapura melibatkan kanak-kanak berumur 11 tahun berpunca daripada kekecewaan dengan keputusan peperiksaan yang diperolehi. Saban hari kelihatan masalah kemurungan di kalangan kanak-kanak semakin membimbangkan. Mungkin di luar sana, ramai lagi kanak-kanak yang mengalami masalah kemurungan yang sama atau lebih serius.

Bagi menangani masalah ini ibu bapa harus meluangkan lebih banyak masa menyelami isi hati dan perasaan anak-anak. Para ibu bapa mungkin perlu memperuntukkan sekurang-kurangnya satu jam sehari berbual dengan anak-anak bagi tujuan tersebut. Komunikasi yang kurang antara ibu bapa dan anak-anak menyebabkan mereka kurang percaya ibu bapa mengambil berat tentang masalah yang dihadapi.

Ibu bapa juga perlu mendidik anak-anak supaya menghormati rakan-rakan dalam pergaulan seharian. Kanak-kanak yang mempunyai kekurangan atau kemampuan berbeza sering menjadi mangsa diskriminasi daripada rakan sebaya. Sama ada sedar atau tidak, masalah ini berlaku seawal di peringkat sekolah rendah lagi dan semakin meruncing.

Unit Bimbingan dan Kaunseling sekolah juga mungkin perlu berperanan lebih meluas lagi supaya menjadi lebih mesra pelajar. Justeru itu, Kementerian Pendidikan perlu mempertingkatkan lagi latihan dan bimbingan kepada para kaunselor supaya masalah kemurungan di kalangan pelajar dapat dikenal pasti pada peringkat pencegahan lagi.

Kanak-kanak zaman masa kini adalah bakal pemimpin yang akan menjayakan Transformasi Nasional 50 (TN 50). Oleh itu, amat penting mereka membesar dalam persekitaran yang tidak membebankan jiwa dan emosi mereka. Mungkin sudah tiba masanya mereka dibekalkan ilmu merawat dan menyerap segala gangguan emosi supaya rutin harian dapat berjalan seperti biasa.

MUHANNAD BIN JAMIL
JAWATANKUASA BELIA DAN REMAJA
PERTUBUHAN IKRAM NEGERI JOHOR

Most Popular

To Top