Isu Semasa

Pemuda Adalah “Kingmaker” Sebenar

Sejarah membuktikan golongan muda memainkan peranan besar dalam kelansungan sesebuah tamadun dan kerajaan. Kisah – kisah hebat seperti pemuda ashabul kahfi, ketokohan Usamah Zaid mengetuai peperangan ketika usia muda dan kehebatan Sultan Muhammad Al-Fateh menakluki Konstantinopel daripada cengkaman Byzantine menguatkan lagi telahan ini. Di rantau Nusantara pula, kebijaksanaan Hang Nadim menyelesaikan masalah Singapura dilanggar todak menunjukkan kualiti yang ada pada pemuda. Harus diingat, revolusi Mesir yang tercetus beberapa tahun kebelakangan ini juga adalah hasil cetusan golongan muda.

Pilihanraya UK 2017

Keputusan Pilihanraya United Kingdom (UK) pada Khamis lalu memberi kejutan kepada perdana menteri, Theresa May apabila parti pimpinannya, Parti Konservatif gagal memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.

Peningkatan mendadak pengundi muda memberi kesan besar kepada keputusan pilihanraya kali ini. Menurut agensi Sky Data, kadar keluar mengundi bagi pemuda berusia dalam lingkungan 18 hingga 24 tahun adalah sebesar 66.4 peratus berbanding hanya 43 peratus pada pilihanraya umum 2015 yang lalu.

Jika diteliti pecahan undi golongan muda ini, 63 peratus daripada mereka mengundi Parti Buruh berbanding hanya 27 peratus mengundi Parti Konservatif. Langkah Parti Buruh yang mahu menghapuskan yuran pendidikan universiti untuk menjadikannya percuma serta ketokohan dan pengaruh pemimpin Parti Buruh, Jeremy Corbin melonjakkan undi golongan muda kepada parti berkenaan.

Bagaimana pula di Malaysia?

Setakat Februari 2017, seramai 4.1 juta rakyat Malaysia yang layak mengundi masih belum berdaftar sebagai pengundi menurut Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah. Lebih menyedihkan, statistik menunjukkan kira – kira 45 peratus daripada jumlah perangkaan tersebut adalah terdiri daripada golongan muda.

Golongan muda Malaysia lebih gemar ‘berkokok’ di media – media sosial berkenaan situasi politik negara daripada menterjemahkan segala kritikan samada kepada pihak kerajaan mahupun pembangkang dalam bentuk undi. Mengundi parti politik mana itu soal kedua, yang penting daftar undi dahulu!

Mereka perlu sedar tentang kepentingan setiap undi mereka dan memberi mesej yang jelas kepada semua ahli politik dalam kalangan parti kerajaan mahupun parti – parti pembangkang bahawa kuasa rakyat adalah sesuatu yang luarbiasa dan tidak boleh dipandang enteng oleh mereka. Mereka sangat memerlukan undi kita untuk kekal berkuasa samada diperingkat kerajaan negeri mahupun diperingkat persekutuan.

Rakyat sepatutnya menjadi ‘tuan’ kepada ahli politik dan kepentingan rakyat mesti didahulukan berbanding agenda peribadi.

Ayuh pengundi muda bangkit bersama – sama dengan menunjukkan siapa “kingmaker” sebenar dalam landskap politik tanahair kepada semua ahli – ahli politik tidak kira daripada parti pemerintah mahupun pembangkang demi mencapai Malaysia yang lebih baik.

Most Popular

To Top