Keluarga

9 Tips Meraikan Anak Istimewa Dalam Komuniti – Siri 3

Anak istimewa merujuk kepada anak-anak yang mempunyai keperluan khas samada secara fizikal, sosial mahupun emosi. Sebagai sebuah negara yang sedang pesat membangun dengan kapasiti penduduk yang berpendidikan tinggi semakin meningkat, komuniti masyarakat di Malaysia sudah semakin ramai yang membuka minda tentang kewujudan anak-anak istimewa ini dan perbezaan keperluan mereka.

Saya berhadapan dengan anak-anak istimewa setiap hari. Ianya merupakan pilihan profesion saya yang dipandu oleh keinginan untuk memudahkan akses anak-anak istimewa seperti adik saya. Akses adalah tidak mudah suatu ketika dahulu untuk adik saya yang bergantung kepada kerusi roda. Namun kini, dengan kemajuan teknologi dan kesedaran yang semakin baik , akses untuk anak-anak ini dilihat semakin mudah.

Walau bagaimanapun, kita harus faham bahawa nak-anak istimewa bukan hanya terdiri daripada anak-anak yang memerlukan bantuan fizikal. Dewasa ini, semakin ramai anak-anak yang didiagnosakan sebagai austisme, hiperaktif, lewat perkembangan, disleksia dan macam-macam lagi. Justeru, memahami kepelbagaian keperluan anak istimewa merupakan tanggungjawab semua ahli dalam komuniti anak istimewa tersebut.

Berikut saya senaraikan sembilan (9) TIPS yang boleh kita semua amalkan bagi MERAIKAN ANAK ISTIMEWA DALAM KOMUNITI dan seterusnya dapat meningkatkan lagi tahap kebolehan berdikari golongan istimewa ini:

Antara perkara yang boleh dilakukan oleh masyarakat adalah seperti berikut:-

1. Penyempurnaan Fasiliti OKU.

Hal Ini merujuk kepada menghormati fasiliti-fasiliti yang disediakan untuk golongan istimewa seperti parkir kereta, tandas Orang Kelainan Upaya (OKU), tempat duduk awam dan kemudahan- kemudahan lain yang disediakan di dalam komuniti.

2. Baca Dan Fahami pelbagai Kondisi Anak Istimewa.

Sesungguhnya, dengan menjadikan diri kita sebagai individu yang berilmu tentang kepelbagaian kondisi anak istimewa dan apa yang mereka perlukan, hal ini akan membantu mereka dan kita untuk memudahkan akses mereka dalam komuniti.

3. Mempermudah Urusan.

Akses dalam komuniti bukan hanya merujuk kepada fasiliti fizikal. Akses dalam komuniti juga merujuk kepada sejauh mana masyarakat dalam satu-satu komuniti itu faham tentang keperluan kepelbagaian OKU. Contohnya, seorang ibu yang mempunyai anak austisme mungkin perlu dibenarkan untuk membuat pembayaran dahulu di kaunter bayaran pusat membeli-belah bagi mengelakkan anak autistiknya menjadi “tantrum”.

4. Fahami Kondisi Dan Keperluan Anak Istimewa Sebaiknya

Antara perkara yang boleh dilakukan oleh keluarga anak istimewa adalah dengan memahami kondisi dan keperluan anak istimewa sebaiknya.Sebagai ibu bapa atau ahli keluarga anak-anak istimewa ini, adalah amat penting untuk ibu bapa atau keluarga sendiri belajar secara mendalam tentang kondisi anak dan cara terbaik yang perlu dilakukan untuk membantu anak-anak istimewa ini. Apabila ahli keluarga sendiri mempunyai kefahaman yang baik tentang kondisi anak istimewa, hal ini akan lebih mudah untuk membuatkan masyarakat memahami mereka.

5. Advokasi Kesedaran Kondisi Anak Kepada Masyarakat

Ahli keluarga perlu menjadi advokater terbaik untuk anak-anak istimewa mereka. Kongsikan bahan bacaan, tips membantu dan menguruskan anak-anak istimewa ini, serta bagaimana respon terbaik yang keluarga harapkan untuk anak istimewa kesayangan. Melalui kemudahan media sosial, advokasi menjadi lebih mudah dan pantas.

6. Bantu Masyarakat Untuk Memahami Keperluan Anak Istimewa

Bagi memudahkan masyarakat untuk memahami keperluan anak istimewa, keluarga juga harus membantu masyarakat untuk faham. Ahli keluarga boleh menyediakan keratan-keratan informasi kecil yang boleh diberikan kepada orang ramai jika keadaan memerlukan orang sekitar untuk memahami situasi mereka. Sebagai contoh, ketika anak anda sedang “tantrum”, ketika anak anda tidak boleh menunggu dalam barisan kerana sudah “restless”, atau ketika anak anda perlu ke tandas dan memotong barisan, anda boleh edarkan keratan informasi tersebut kepada orang sekitar.

7. Perkara Yang Boleh Dilakukan Oleh Institusi / NGO

Menjalankan Program Pendidikan Masyarakat

Institusi-institusi serta badan-badan NGO boleh membantu memudahkan akses anak-anak istimewa ini dengan menjalankan program-program berbentuk pendidikan masyarakat. Hal Ini akan membantu membesarkan lagi capaian kesedaran tentang anak-anak istimewa ini kepada komuniti yang lebih besar.

8. Advokasi Untuk Kemudahan OKU Di Tempat Awam

Institusi dan badan NGO mempunyai capaian yang lebih besar dan boleh membawa suara masyarakat yang lebih besar implikasinya. Melalui bantuan mendapatkan kemudahan OKU yang lebih baik, ia akan memudahkan akses anak-anak ini dan ahli keluarganya.

9. Melakukan Aktiviti Berbentuk Inklusif

Aktiviti berbentuk inklusif merujuk kepada aktiviti-aktiviti yang akan melibatkan komuniti umum dengan golongan istimewa. Aktiviti seperti ini akan membuka mata komuniti tentang keberadaan
golongan istimewa ini dan perlunya kebersamaan komuniti dalam membantu akses dan kebolehan golongan ini untuk berdikari.

Semoga tip-tip yang diberikan dapat membantu kita memahami anak-anak istimewa dengan lebih dekat seterusnya akan mempraktikkan tip-tip yang dinyatakan di atas bagi meraikan anak- anak istimewa ini dalam komuniti kita.

‘Harapan mereka Aspirasi Bersama.

Gambar kredit: Scoop

Most Popular

To Top